Syaherah Mustafa


Tanah Merah: Projek Pengurusan Sisa Lestari melalui Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) memperkenalkan Black Soldier Fly (BSF) untuk membantu dalam meminimakan penghasilan karbon dioksida.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek di bawah kelolaan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) itu menggunakan BSF iaitu spesis lalat yang terdapat di kawasan iklim tropika di mana larva spesis berkenaan membantu melupuskan pelbagai jenis sisa buangan organik harian.

Katanya, secara tidak langsung ia dapat meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan sampah, memelihara sumber alam semulajadi dan mengurangkan pencemaran alam.

"Secara praktikal, projek ini memberi manfaat kepada 27,000 penduduk Bandar Tanah Merah, manakala anggaran potensi pengurangan karbon (dioksida) mencecah 1,070 tan setara setahun bersamaan dengan nilai penyerapan karbon oleh 26,750 pokok teduhan yang sudah matang.

"Kementerian optimis pelaksanaan konsep bandar rendah karbon yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi hijau domestik dan secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan serta mampu menggamit minat pelaburan asing.

"Penjanaan sisa buangan yang tidak diurus dengan baik boleh mencemarkan alam sekitar, begitu juga dengan longgokan sampah, sistem perparitan yang tersumbat dan pencemaran air yang turut mengancam kesihatan rakyat dan hidupan lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pengurusan Sisa Lestari Black Soldier Fly (BSF) di Pasar Borong Tanah Merah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Tuan Ibrahim berkata, Projek Pengurusan Sisa Lestari BSF dianggap sebagai inisiatif terbaik menggunakan kitaran ekosistem semula semulajadi dalam menjaga persekitaran.

"GeRAK adalah peruntukan sebanyak RM35 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi yang sudah diluluskan oleh kerajaan kepada seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia.

"Sehingga kini, sebanyak 141 PBT sudah memanfaatkan peruntukan ini untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bandar rendah karbon merangkumi elemen tenaga, air, sisa, mobiliti dan kehijauan di kawasan atau fasiliti awam," katanya.

Tuan Ibrahim Tuan Man, (dua dari kiri) melihat lalat jenis BSF di Majlis Pelancaran Projek Pengurusan Sis Lestari BSF di Pasar Borong Tanah Merah, di sini hari ini.
Tuan Ibrahim Tuan Man, (dua dari kiri) melihat lalat jenis BSF di Majlis Pelancaran Projek Pengurusan Sis Lestari BSF di Pasar Borong Tanah Merah, di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 3:04 PM