GURU bersama maskot Bumblebee menyambut kehadiran murid-murid di SK Duyong ketika hari pertama sesi persekolahan 2022/2023 hari ini. FOTO Malik Muhamad
GURU bersama maskot Bumblebee menyambut kehadiran murid-murid di SK Duyong ketika hari pertama sesi persekolahan 2022/2023 hari ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kemunculan hero dalam filem Transfomers, Bumblebee seawal 7.15 pagi menceriakan murid pada hari pertama sesi persekolahan 2022/2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong, dekat sini, hari ini.

Idea kreatif itu dilakukan pihak sekolah bagi menyambut kehadiran 453 murid Tahun Satu hingga Tahun Enam serta Prasekolah, sekali gus menyuntik semangat mereka.

Ini berikutan lebih setahun mereka terpaksa menjalani proses pembelajaran secara penggiliran berikutan wabak pandemik Covid-19.

Selain itu, inisiatif itu mampu meningkatkan motivasi murid untuk memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Guru Besar SK Duyong, Supian Mamat berkata, kelainan ditampilkan ketika menyambut kehadiran murid itu bermatlamat untuk menyemai minat mereka supaya sentiasa datang ke sekolah.

"Cara ini mampu menceriakan murid terutama selepas bercuti selama tiga minggu dan menarik minat murid Tahun Satu.

"Besar harapan pihak sekolah agar ibu bapa dan penjaga dapat memainkan peranan lebih aktif mendorong anak mereka yang tidak bergejala hadir ke sekolah pada setiap hari.

"Memandangkan wabak pandemik Covid-19 belum reda, pihak sekolah meletakkan harapan tinggi agar ibu bapa dan penjaga dapat meningkatkan lagi kesedaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kepada anak mereka bagi memastikan bebas daripada jangkitan wabak pandemik itu," katanya ketika ditemui.

Murid Tahun Satu, Ayra Qhadeeja Amram berkata, dia seronok dapat melihat Bumblebee dari dekat ketika mula-mula memasuki kawasan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 3:51 PM