SITI Fatimah (kiri) dan Mohamad Faris memantau murid Tahun Dua SK Duyong, hari ini. FOTO Malik Muhamad
SITI Fatimah (kiri) dan Mohamad Faris memantau murid Tahun Dua SK Duyong, hari ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Walaupun sesi persekolahan baharu dibuka hari ini, murid Sekolah Kebangsaan Duyong (SKD) dapat mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan baik."

Demikian reaksi Pegawai Perhubungan Sekolah SKD dari Balai Polis Chabang Tiga, Siti Fatimah Mohd Syahrin dan Mohamad Faris Husain.

Siti Fatimah berkata, hasil pemantauannya di sekolah itu, beliau berpuas hati dengan pematuhan SOP dalam kalangan murid yang bagaikan sudah biasa dengan amalan norma baharu itu.

Menurutnya, murid dan guru dilihat dapat mengikuti SOP ditetapkan MKN dengan baik bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

"Kami puas hati dan terima kasih banyak-banyak kepada guru kerana dapat memantau dan memberi kefahaman jelas kepada murid bagi membendung penularan Covid-19.

"Murid menjaga jarak sama ada di luar atau di dalam kelas selain sentiasa memakai pelitup muka dan membasuh tangan ketika memasuki kelas.

"Ketika masuk ke dalam kelas Tahun Satu dan Tahun Dua, kami sempat memberi nasihat kepada murid berkaitan penjagaan kebersihan diri selain meminta mereka memaklumkan dengan kadar segera kepada guru jika ada gejala seperti demam, sakit kepala, selsema dan batuk," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, hari ini.

Sementara itu, guru SKD, Nik Hasma Nakhaie Hasim berkata, beliau berpuas hati dengan pematuhan SOP dalam kalangan murid dan mereka sentiasa diingatkan pentadbir yang diketuai Guru Besar, Abd Rahim Abd Rahman mengenai SOP perlu dimaklumkan kepada murid pada hari pertama pembukaan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 5:51 PM