GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Riyadh: Pelajar di Arab Saudi akan dianggap tidak hadir ke sekolah selagi mereka tidak menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19.

Gulf News melaporkan perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan Arab Saudi, Dr Hamad Al Sheikh dalam satu pengumumannya pada Ahad.

Pengumuman itu dibuat sempena menyambut guru yang kembali bertugas di sekolah.

Menurut Hamad, pelajar berusia 12 tahun dan ke atas mesti mendapatkan dua suntikan Covid-19 sebagai syarat untuk hadir ke sekolah.

Ini kerana rekod kehadiran mereka tidak akan dikira selagi belum menerima suntikan lengkap.

"Proses pengurusan akademik ketika tempoh pandemik tidak mudah.

"Bagaimanapun, dalam bidang akademik, kita perlu mengubah cabaran menjadi peluang untuk perubahan dan pembangunan.

"Semua pihak perlu bertanggungjawab meneruskan kelangsungan pembelajaran untuk pelajar di samping memastikan keselamatan dan kesihatan dalam semua aspek diambil kira," katanya.

Justeru, Hamad berharap semua pihak mengambil suntikan vaksin dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

"Semua perlu mengambil vaksin tidak kira pelajar, ibu bapa atau guru sekalipun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 6:35 AM