Kuala Terengganu: Inisiatif seorang guru sanggup memakai maskot Teddy Bear ketika menyambut murid Sekolah Kebangsaan Kedai Buluh (SKKB), di sini, pada hari pertama persekolahan, semalam harus beri pujian.
Guru Bimbingan SKKB, Mohd Sabjani Alias berkata, dia yang menyewa kostum maskot berkenaan terpaksa berpanas selama 45 minit demi menghiburkan murid yang datang ke sekolah.
"Hanya orang yang pernah memakainya tahu cabaran apabila memakai kostum maskot itu selama 45 minit... ia sangat mencabar.
"Panas dan berasa sangat rimas, tetapi apabila murid memberi respons positif dan ceria datang ke sekolah, saya berasa gembira hingga segala rasa penat hilang.
"Bukan sahaja menghiburkan mereka dengan gelagat maskot itu, malah turut memberi mereka cenderahati supaya berasa seronok dan dihargai apabila berada di sekolah," katanya.
Katanya, pemakaian kostum maskot itu antara inisiatif terbaik untuk menceriakan dan menggalakkan murid datang ke sekolah.
"Saya akan meneruskan tradisi memakai kostum maskot itu setiap kali hari pertama persekolahan. Walaupun seronok, faktor kesihatan diri juga perlu dititikberatkan supaya tidak mengalami sesak nafas," katanya.