Redzuan Muharam


Cheras: Walau bimbang untuk melepaskan anak ke sekolah kerana penularan Covid-19 yang masih belum reda, rata-rata ibu bapa tetap yakin dengan pengurusan sekolah dalam menjamin kebajikan dan keselamatan anak mereka.

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Sembilan, Jalan Cheras di sini, hari ini mendapati ibu bapa menghantar anak mereka yang memasuki Tahun Satu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi.

Guru pula menyambut kehadiran murid di pintu pagar sekolah dengan ceria dan memastikan mereka mendaftar kemasukan menerusi aplikasi MySejahtera selain memakai pelitup muka.

Bapa dari Taman Kota Cheras, Mohd Nor Azlan Mohd Sabri, 35, berkata, dia kerap berpesan kepada anak sulungnya, Muhammad Aqil, 7, agar mematuhi SOP terutama dalam pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

"Malah, sejak dia di tadika lagi saya ingatkan mengenai SOP dan ia sudah menjadi kebiasaannya.

"Ibunya juga bangun awal pagi untuk menyiapkan bekal bagi memastikan dia menikmati makanan bersih pada waktu rehat.

"Saya yakin sesi persekolahan akan berjalan baik dengan bantuan guru walaupun kita masih dalam fasa pandemik," katanya.

Bagi Azro Jusoh, 42, pengalaman menguruskan dua anak ke sekolah sebelum ini membuatkan dia tidak bermasalah dalam mempersiapkan anak bongsu ke Tahun Satu.

Namun akuinya, dia bimbang mengenai peningkatan kes Covid-19 dan berharap anaknya dilindungi.

"Memang ada sedikit kerisauan berikutan peningkatan kes Covid-19 sebelum ini tapi nak buat macam mana, pelajaran juga penting selain kesihatan.

"Sebagai bapa, tanggungjawab saya adalah mengingatkan anak soal pematuhan SOP," katanya yang menetap di Taman Cheras Intan.

Suri rumah, Nur Izzati Surati, 34, pula yakin untuk menghantar anak sulungnya, Muhammad Harraz Muhammad Hafiz, 7, ke sekolah walaupun dalam pandemik belum berakhir kerana persediaan yang sudah dilakukan.

"Lagipun, pihak sekolah dan guru ada untuk membantu memantau anak ketika di sekolah jadi saya yakin semuanya akan berjalan dengan baik," katanya.

Penggal Satu Sesi Persekolahan 2022/2023 bermula serentak di seluruh negara, hari ini membabitkan murid prasekolah dan Tahun Satu hingga Enam.

Namun, hanya murid Tahun 3 sehingga Tahun 5 hadir ke sekolah secara penggiliran bagi sekolah rendah yang mempunyai kapasiti murid melebihi 600 orang.

Sementara pelajar sekolah menengah akan menjalani Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga 4 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 10:35 AM
IBU bapa menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan Batu Sembilan pada hari pertama sesi persekolahan 2022/2023. FOTO Amirul Johari.
IBU bapa menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan Batu Sembilan pada hari pertama sesi persekolahan 2022/2023. FOTO Amirul Johari.