Pelajar Tingkatan Dua SMK Seri Gombak, Muhammad Amar Uzair Muzhafar, 14 mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) subjek Bahasa Melayu di kediaman beliau di Batu Caves. FOTO ASYRAF HAMZAH
Pelajar Tingkatan Dua SMK Seri Gombak, Muhammad Amar Uzair Muzhafar, 14 mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) subjek Bahasa Melayu di kediaman beliau di Batu Caves. FOTO ASYRAF HAMZAH
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Hari pertama sesi persekolahan baharu dibuka hari ini mencetuskan pelbagai reaksi ibu bapa berhubung kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) membabitkan murid Tahun Satu hingga pelajar Tingkatan Lima bagi sesi 2021.

Ini berikutan murid dan pelajar terbabit dikehendaki mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersama guru secara dalam talian.

Ibu dua anak, Tengku Noor Aisyah Tengku Zainuddin, 32 dari Kulai, Johor mengakui sudah melakukan persediaan awal sebaik mendapat makluman daripada Kementerian Pelajaraan berhubung pelaksanaan PdPR.

Menurutnya, sebagai suri rumah sepenuh masa, ia memberi kelebihan dan memudahkannya memantau anak sulungnya, Nur Zafirah Abdul Aziz, 7, yang memasuki tahun satu, hari ini.

"Ikutkan teruja kerana anak akan memasuki tahun satu persekolahan, tetapi kecewa apabila diberitahu sekolah tidak dibuka, sebaliknya menerusi PdPR berikutan pandemik Covid-19.

"Perasaan bimbang itu ada kerana dia (Nur Zafirah) hanya dapat memasuki prasekolah selama dua bulan tahun lalu, dan hari ini terus memasuki tahun satu dengan sekolah kebangsaan pada sesi pagi, manakala sekolah agama pada sebelah petang.

"Namun, semuanya berjalan lancar apabila terdapat kumpulan WhatsApp yang memudahkan ibu bapa berinteraksi dengan guru," katanya.

Katanya, dia akan cuba menyesuaikan diri membantu anaknya menjalani PdPR dan berharap pandemik reda supaya sesi persekolahan dapat dijalankan seperti biasa.

"Jujurnya, saya lebih gemar jika pembelajaran dijalankan di sekolah berbanding di rumah kerana anak akan lebih fokus tetapi buat masa ini, saya mengikut apa yang diputuskan kerajaan demi kebaikan semua," katanya.

Ibu lain, Salwa Ab Rasip, 33, berkata dia tiada masalah dengan pelaksanaan PdPR kerana ada pengalaman sama pada tahun lalu.

"Cuma, anak sulung saya (Muhammad Khairil Amirin Nariman) baru memasuki tingkatan satu tahun ini, jadi medium digunakan guru tidak sama iaitu aplikasi Telegram.

"Sebelum ini, kita gunakan WhatsApp, jadi itu saja perubahannya kerana selebihnya masih sama cuma tahun lalu, saya akan ke sekolah sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu bagi mengambil bahan PdP.

"Tahun ini lebih mudah kerana saya sudah membelikan telefon bimbit buat anak sulung sebagai persediaan supaya dia tidak ketinggalan," katanya yang turut berharap sekolah dibuka semula kelak untuk membolehkan PdP secara bersemuka berjalan seperti biasa.

Manakala, Nurul Marlinda Mohd Nasir, 32, pula nekad menghantar anaknya, Raisha Khayla Mohd Hafiz, 5, ke sebuah tadika swasta, hari ini.

Nurul Marlinda yang menetap di Prima Saujana, Kajang berkata, perasaan takut tetap ada, tetapi diketepikannya kerana mahu anaknya mendapat pembelajaran sempurna di bawah bimbingan guru.

"Saya tidak mahir dalam mengajar kanak-kanak dan cepat emosi apabila apa diajar tidak difahami tetapi yakin guru lebih pandai membantu anaknya dalam sesi PdP.

"Berdasarkan pengalaman, saya sedar pembelajaran secara dalam talian tidak sesuai dengan anak saya kerana dia nampak lebih seronok belajar secara bersemuka bersama guru dan rakan tetapi hanya sempat merasainya selama dua bulan saja pada tahun lalu.

"Selepas mengambil kira semua aspek terutama keselamatan dengan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, saya nekad menghantar anak ke tadika, tahun ini dengan harapan dia dapat menimba ilmu dalam suasana pembelajaran normal walaupun masih dalam fasa norma baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 3:08 PM