MAZDIANA Makmor membantu Muhammad Aqma Azizul melakukan persiapan untuk masuk sekolah yang akan bermula esok. FOTO AIZUDDIN SAAD
MAZDIANA Makmor membantu Muhammad Aqma Azizul melakukan persiapan untuk masuk sekolah yang akan bermula esok. FOTO AIZUDDIN SAAD
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Ibu bapa dan murid berkeperluan khas (MBK) sudah bersedia dengan pembukaan semula sekolah membabitkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) yang dijadualkan bermula esok.

Jurutera, Mazdiana Makmor, 41, yang juga ibu kepada murid orang kurang upaya (OKU) kecacatan fizikal berkata, pembukaan sekolah secara berperingkat dilihat langkah yang baik.

"Dari segi keselamatan anak, saya yakin dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di sekolah dapat mencegah daripada penyebaran wabak Covid-19.

"Anak saya, Muhammad Aqmal Azizul, 9, yang kini Tahun Tiga di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa juga sudah memahami kehidupan norma baharu seperti pemakaian pelitup muka, amalan basuh tangan serta kekalkan jarak sosial yang selamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dari segi persiapan keperluan sekolah tidak menjadi masalah kerana ia sudah dibeli sejak Februari lalu.

"Alat tulis, buku dan baju sekolah yang dibeli dulu masih elok dan boleh digunakan untuk pembukaan sekolah kali ini.

"Anak saya juga kurang fokus apabila sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan lebih memilih ke sekolah kerana dapat berjumpa rakan-rakannya," katanya.

Pesara, Muhammad Hariri Abdul Majid, 55, yang juga bapa kepada murid OKU pekak Tahun Lima berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) negara yang memberangsangkan menjadi antara faktor mempengaruhi tahap keyakinannya untuk menghantar anak ke sekolah.

"Melihat kepada data pesakit Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), saya yakin pemberian vaksin dapat mengurangkan risiko gejala yang teruk.

"Jadi, saya yakin dari segi keselamatan anak saya, Hassan Fahmi, 12, dan berharap negara kita dapat capai imuniti kelompok segera agar penularan wabak Covid-19 berkurangan," katanya.

Katanya, dari segi persiapan sekolah juga tiada masalah berikutan pengumuman pembukaan sekolah diumumkan seminggu lebih awal.

"Saya sendiri sudah melihat kelas anak saya dan ia mengikut SOP yang ditetapkan dari segi penjarakan dan ada pengudaraan yang baik.

"Penerangan SOP dari guru sekolah juga sudah diberikan dan keperluan sekolah juga semua sudah tersedia," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKPK Jalan Peel dekat sini berkata, pihaknya bakal turun padang membantu guru sekolah dalam memastikan proses kemasukan murid mengikut SOP berjalan lancar.

"Saya anggarkan pembukaan semula sekolah esok lebih lancar berbanding Mac lalu kerana ibu bapa, guru dan murid sudah berpengalaman dan peka dengan SOP yang ditetapkan.

"Namun, perlu diingatkan kepada ibu bapa perlu sama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan anak-anak dengan sentiasa mengingatkan dan mendidik memahami SOP yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 5:26 PM