Maskot Pinkfong di hadapan pintu masuk SK (P) Sultan Ibrahim, hari ini. FOTO Nurul Amanina Suhaini.
Maskot Pinkfong di hadapan pintu masuk SK (P) Sultan Ibrahim, hari ini. FOTO Nurul Amanina Suhaini.
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Maskot kartun Pinkfong muncul di hadapan pintu masuk Sekolah Kebangsaan (SK) (P) Sultan Ibrahim di sini, untuk meraikan murid prasekolah, tahun satu dan tahun dua yang memulakan sesi persekolahan hari ini.

Tinjauan mendapati kemunculan maskot itu sedikit sebanyak menceriakan murid yang ada antaranya sedih berpisah dengan ibu bapa dan ada yang mahu ibu menemani mereka ke kelas, selain perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP).

Mohammed Izuan Zabid, 43, berkata, anak kembar perempuannya berusia tujuh tahun begitu teruja menghadiri sekolah hari ini dengan mengenakan pakaian seragam buat pertama kalinya.

Katanya, persiapan persekolahan buat Nur Suraya dan Nur Sarah menjadi lebih mudah dengan bantuan guru yang sentiasa mengemas kini maklumat apa yang perlu disediakan.

"Sebagai ibu bapa, kami risau keadaan mereka di sekolah kala pandemik Covid-19 ini. Saya sudah membekalkan mereka dengan cecair pembasmi kuman dan pelitup muka," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Swasta Johor, Datuk Yahya Jaafar berkata, ibu bapa perlu memberi keyakinan kepada pihak sekolah untuk menjaga anak mereka sepanjang berada di sekolah.

"Kita sudah melalui fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ibu bapa tidak perlu risau sebagai langkah persediaan anak-anak dihantar ke sekolah, rata-rata pihak sekolah bertanggungjawab.

"Pihak sekolah juga memberi kelonggaran antaranya boleh menghantar anak ke sekolah sehingga jam 8.30 pagi, selain memakai pakaian apa sahaja," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, 131,281 jumlah murid merangkumi 21,358 murid prasekolah, 56,097 Tahun Satu dan 53,826 Tahun Dua mendaftar masuk ke sekolah di negeri itu.

Katanya, selain sekolah rendah, Kolej Vokasional juga dibuka hari ini dengan jumlah seramai 4,855 pelajar.

"Bagi jumlah 218,782 murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 8 Mac, manakala jumlah 290,811 pelajar sekolah menengah akan bermula pada 4 April depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 11:02 AM