DANISH dan Zurani hadir ke sekolah. FOTO Hamzah Osman
DANISH dan Zurani hadir ke sekolah. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: "Saya takut virus Covid-19, sebab itu pakai pelitup muka. Emak juga pesan kena selalu pakai pelitup muka kerana virus tak nampak," kata Danish Rayyan Mohd Anis, 9.

Danish Rayyan antara murid sekolah rendah di sini yang memulakan sesi persekolahan tanpa penggiliran mulai hari ini.

Terdahulu, Danish Rayyan tiba pada 7.15 pagi di pagar sekolah itu bersama adiknya, Zurani Safia, 7, lengkap memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Zurani Safia juga murid Tahun Satu berkata, dia bangun awal kerana teruja untuk berjumpa rakan.

"Ya, memang gembira, sebelum ini kami ada jadual giliran, ada rakan yang dah lama tak jumpa sebab giliran kami hadir sekolah tak sama," katanya.

Sementara itu, bapa seorang murid, Mohd Faizal Hisham Husin, 38, berkata, ibu bapa berperanan mengingatkan anak masing-masing kepentingan mematuhi SOP di dalam dan di luar sekolah.

"Anak saya, Muhammad Rayyan Rizki, 10, memang teruja untuk hadir sekolah hari ini kerana dapat jumpa semua rakannya, dan saya mengingatkan dia mengenai SOP.

"Harapan saya agar semua murid jangan lalai, sentiasa menjaga SOP ketika dalam kelas dan di kantin kerana virus Covid-19 ada di sekeliling," katanya.

Pada 8 April lalu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan tanpa penggiliran bagi murid sekolah rendah untuk negeri kumpulan A iaitu Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu bermula hari ini manakala negeri lain dalam kumpulan B, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 10:20 AM