MUHAMMAD Hafizuddeain (depan tiga kanan) bersama Andrew (depan dua kiri) bergambar semasa Eksesais Semangat Bersatu di Kem Ulu Tiram Pulada, Johor Bahru hari ini. FOTO MARY VICTORIA DASS
MUHAMMAD Hafizuddeain (depan tiga kanan) bersama Andrew (depan dua kiri) bergambar semasa Eksesais Semangat Bersatu di Kem Ulu Tiram Pulada, Johor Bahru hari ini. FOTO MARY VICTORIA DASS
Mary Victoria Dass


Ulu Tiram: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia untuk membantu pelaksanaan operasi banjir khususnya di kawasan berisiko berikutan peralihan monsun dijangka berterusan sehingga Mei ini.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pihaknya merangka pelbagai mekanisme dan strategi bagi menjalankan operasi berkenaan sekiranya berlaku bencana banjir.

Menurutnya, perkara itu juga dibincang di peringkat jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah bagi memastikan pelaksanaan lancar.

"Kita bersedia menghadapi peralihan monsun ini.

"Sistem dan mekanismenya pun sudah ada untuk atur gerak di peringkat awal khususnya di kawasan terjejas dan seterusnya menghantar aset ke lokasi yang dijangka berisiko tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Eksesais Semangat Bersatu Siri 26/2022 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Singapura (TDS) di Padang Kawad Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Kem Ulu Tiram, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), di sini hari ini.

Hadir sama, Panglima Latihan dan Doktrin, Tentera Darat Singapura, Brigedier Jeneral Andrew Lim Heng Tiew.

Terdahulu, demi mengerat kerjasama ketenteraan dan bilateral pertahanan sesama negara, seramai 390 tentera Malaysia dan Singapura menjalani latihan di Eksesais Semangat Bersatu Siri 26/2022 di sini.

Muhammad Hafizuddeain berkata, latihan bermula 18 Mac lalu diadakan hingga 25 Mac depan.

"Ia membabitkan seramai 295 pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia dan 95 pegawai dan anggota Tentera Darat Singapura.

"Konsep eksesais adalah menjurus kepada operasi ofensif membabitkan dua fasa peperangan konvensional di kawasan am Ulu Tebrau.

"Latihan berkenaan menguji fungsi pasukan infantri dengan penglibatan pelbagai elemen tempur dan bantuan tempur dalam menangani sebarang ancaman selain mencapai kerjasama sesama negara.

"Secara tidak langsung latihan diadakanbagi mengeratkan hubungan kerjasama ketenteraan antara Malaysia dan Singapura," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 6:12 PM