Mohammad (tengah, hadapan) pada Majlis Sambutan Hari ATM ke-90 di Jeti Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Mohammad (tengah, hadapan) pada Majlis Sambutan Hari ATM ke-90 di Jeti Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Muhamad Lokman Khairi


Lumut: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalani penstrukturan semula bagi membentuk sebuah 'angkatan masa hadapan' yang menepati kemajuan teknologi, kalis cabaran masa depan dan menepati ekspektasi rakyat.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, berkata langkah itu bertepatan dengan pelan Strategi Ketenteraan Negara 2.0 yang dilancarkan September tahun lalu sebagai dokumen strategi tertinggi ATM.

Menurutnya, penstrukturan semula itu juga menyokong Kertas Putih Pertahanan yang menetapkan dengan jelas hala tuju strategik pertahanan negara sehingga tahun 2030 dalam mempertahankan kedaulatan negara, keutuhan wilayah dan kepentingan negara.

"Komponen terpenting bagi tonggak strategi pertahanan atau cegah rintang berpadu kini giat dilaksanakan dalam membina angkatan masa hadapan sebagai perisai negara yang berpaksi kepada postur bersepadu, tangkas dan berfokus.

"Saya dibantu oleh Panglima-Panglima Perkhidmatan yang dilihat sebagai penjana keupayaan daya tempur menerusi konsep raise, train and maintain.

"Sementara, Panglima Angkatan Bersama selaku nadi tempur kepada aplikasi tindak balas ketenteraan melalui kaedah operate and sustain," katanya ketika berucap semasa Sambutan Hari ATM ke-90, di Jeti Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut, di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Pada majlis itu, hadirin turut dipertontonkan Perbarisan Tempur Statik membabitkan 30 pegawai dan 306 anggota lain-lain pangkat daripada empat kontinjen terdiri daripada TDM, TLDM, TUDM dan Gabungan Pasukan Khas.

Turut diadakan segmen Demonstrasi Keupayaan ATM yang memperlihatkan kompetensi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM serta keupayaan aset iaitu kenderaan perisai AV8 Gempita, kenderaan berperisai berantai ACV 300 Adnan, kenderaan pelancar roket Igla SLU, kenderaan pelancar roket Astros II dan helikopter Agusta LOH A109.

Aset lain yang terbabit adalah helikopter MD 530G, Supacat ATMP, kenderaan pengangkut senjata VAMTAC S3 MK 19 dari TDM, helikopter AW 139 (HOM), helikopter Super Lynx, helikopter Fennec, Fast Combat Boat (FCB) dan Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB)

Dalam pada itu, Mohammad menjemput orang ramai untuk menghadiri Karnival Hari ATM 2023 di Pangkalan TLDM Lumut antara 13 hingga 15 Oktober depan dengan pelbagai aktiviti serta pameran ditampilkan, yang membabitkan cabang Darat, Laut dan Udara dalam ATM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 11:45 AM