Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan duit raya kepada keluarga Koperal Morrison anakFerlix ketika lawatan ke rumah anggota pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Berbuka Puasa bersama warga Tentera Darat di Padang Kawat, PULADA, Kem Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan duit raya kepada keluarga Koperal Morrison anakFerlix ketika lawatan ke rumah anggota pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Berbuka Puasa bersama warga Tentera Darat di Padang Kawat, PULADA, Kem Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Malaysia menerima lebih 3,000 insiden ancaman serangan siber setiap hari yang berusaha membolosi sistem keselamatan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ancaman keselamatan terhadap negara bukan sahaja wujud dalam bentuk fizikal malah ancaman keselamatan siber.

"Setiap hari, serangan siber terhadap negara adalah lebih 3,000 insiden.

"Jika ia (serangan) berjaya dapat godam sistem kita, mereka (penggodam) dapat masuk untuk mengintip, mendengar dan meninjau pergerakan kita, perbualan kita terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan operasi ketenteraan sebagainya.

"Serangan dan usaha ini dilakukan untuk masuk dalam sistem negara kita oleh pelbagai pihak. Siapa pihaknya, kita tak perlu beritahu.

"Namun saya nak beritahu bagaimana anggota ATM berkerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tanpa cuti bagi menjaga kedaulatan negara bagi dibolosi secara fizikal dan ancaman serangan siber ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Blok Rumah Keluarga Angkat Tentera (RKAT) Desa dan Lapang Sasar Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Timbalan Panglima Tentera Darat,Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan rakyat negara ini susulan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, Rabu lalu.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, mengucapkan tahniah kepada PDRM atas kejayaan melakukan penangkapan berkenaan.

Katanya, ini menunjukkan ancaman kepada negara sentiasa berlaku dan memerlukan tindakan proaktif setiap hari.

"Dalam konteks ini, atas sebab itulah kita berharap rakyat menghargai usaha pasukan keselamatan sama ada PDRM dan ATM serta lain-lain.

"Mereka sentiasa bekerja 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu dalam menjaga sempadan, tiada kebolosan pendatang asing tanpa izin (PATI), menghalang penyeludupan selain memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terjamin secara fizikal mahupun ancaman serangan siber.

"Apatah lagi, penceroboh dan seumpamanya ini menggunakan teknologi canggih termasuk dron bagi membolosi negara kita dan menembusi sistem keselamatan kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 8:34 PM