Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersalaman bersama pegawai kanan ketika hadir Majlis Aidilfitri di Kem Gubir di sini, hari ini. FOTO TENTERA DARAT MALAYSIA
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersalaman bersama pegawai kanan ketika hadir Majlis Aidilfitri di Kem Gubir di sini, hari ini. FOTO TENTERA DARAT MALAYSIA
M Hifzuddin Ikhsan


Sik: Tentera Darat Malaysia (TDM) mengakui kelewatan pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, menyebabkan latihan pegawai dan anggota Gerup Gerak Khas (GGK) sedikit terjejas.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, berkata TDM berharap projek itu dapat disiapkan segera kerana keperluan latihan di kolam itu dianggap penting kepada GGK.

Jelasnya, kelewatan pembinaan kolam selam tempur itu kini memasuki hari ke-647 dengan hanya baki tiga peratus lagi kerja bagi menyiapkan infrastruktur berkenaan.

"Pertama sekali Tentera Darat menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terhadap projek tersebut.

"Sebagai pengguna, memang kita sentiasa pantau dan perkara ini juga dibangkitkan setiap bulan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan TDM yang dipengerusikan Timbalan Panglima Tentera Darat.

"Kita ingin tahu perkembangan projek itu kerana wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) juga hadir ke mesyuarat itu untuk memberi penjelasan, namun itulah jawapannya yang diberikan kepada kita," katanya ketika hadir menghadiri Majlis Aidilfitri di Kem Gubir di sini, hari ini.

Semalam, Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan GGK menitahkan JKR Johor dan Jurutera Daerah Mersing menjelaskan punca kelewatan pembinaan kolam berkenaan yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022.

Muhammad Hafizuddeain berkata, pihaknya berharap JKR Johor dapat membantu menyiapkan segera projek itu agar kemudahan itu dapat digunakan segera anggota GGK.

Katanya, kali terakhir pihak yang bertanggungjawab terhadap pembinaan kolam itu memohon lanjutan masa adalah pada 14 April lalu, selepas lima kali ia dilanjutkan sebelum ini.

"Projek ini di bawah kelolaan Bahagian Pembangunan Kementerian Pertahanan dan agensi pelaksana adalah JKR. Saya difahamkan sub kontraktor juga ada dilantik, namun mereka turut gagal dan menarik diri daripada menyelamatkan projek.

"Kita tidak boleh bertindak lebih daripada itu kerana di luar bidang kuasa, selain membuat aduan agar kemudahan ini diberi perhatian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 4:42 PM