WANITA warga emas yang diselamatkan bomba (gambar kiri). Kejadian tanah runtuh di Taman Gembira (gambar kanan). FOTO Ihsan Bomba
WANITA warga emas yang diselamatkan bomba (gambar kiri). Kejadian tanah runtuh di Taman Gembira (gambar kanan). FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Puchong: Seorang wanita warga emas yang terlantar diselamatkan pasukan Bomba dan Penyelamat selepas rumahnya di Kampung Sri Langkas, di sini, dinaiki air, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, wanita berusia 65 tahun itu diselamatkan kira-kira 7 malam tadi.

"Difahamkan wanita warga emas berkenaan, Aishah Dahiri yang juga orang kurang upaya (OKU) menghidap penyakit strok.

"Dia diselamatkan pihak bomba ketika air di rumahnya setinggi pada paras dada," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, pihaknya membantu mengeluarkan orang awam di Kampung Kenanga, di sini, yang naik hingga paras paha serta air Sungai Klang berada di aras berjaga-jaga.

"Anggota bomba bersama jentera dan bot sudah berada di lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa.

"Kerja-kerja menyelamat sedang giat dijalankan di kawasan ini dengan paras air mula naik sehingga paras paha," katanya.

Norazam berkata, pihaknya turut membuat pemantauan di Taman Buana Perdana, Petaling Jaya susulan kawasan itu dilanda banjir kilat.

"Bagaimanapun, air dilaporkan sudah surut di kawasan berkenaan," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima dua laporan tanah runtuh di Taman Gembira dan Seksyen 6 Wangsa Maju.

"Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tanah runtuh di Taman Gembira jam 5.10 petang tadi. Kami memasang sawar-sawar di kawasan berkenaan dan mengarahkan orang awam yang berada berhampiran lokasi terbabit untuk berpindah.

"Tiada mangsa dilaporkan cedera dan tiada rumah dilaporkan rosak dalam kejadian itu. Operasi itu tamat 5.50 petang tadi," katanya.

Katanya, kejadian tanah runtuh di Seksyen 6 Wangsa Maju pula membabitkan lima rumah yang terjejas.

"Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.40 petang dan tindakan membawa semua penghuni di semua rumah yang terbabit dijalankan.

"Operasi berkenaan masih berjalan sehingga kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 11:25 PM