KENDERAAN rosak selepas terperangkap dalam banjir di Jalan Meru berdekatan susur masuk ke Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (Tol Bandar Bukit Raja S). FOTO Osman Adnan
KENDERAAN rosak selepas terperangkap dalam banjir di Jalan Meru berdekatan susur masuk ke Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (Tol Bandar Bukit Raja S). FOTO Osman Adnan
BERNAMA

Shah Alam: Klang dan Sepang adalah dua daerah paling teruk terjejas banjir di negeri ini susulan hujan lebat sejak semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, selain itu, kawasan Shah Alam, Banting dan Kuala Langat pula mengalami peningkatan paras air hingga membabitkan pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Kepada orang ramai, kita (polis) mengharapkan mereka lebih berhati-hati dan mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa supaya tidak terperangkap dalam banjir," katanya pada sidang media secara maya melalui Facebook Polis Klang Selatan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai terutama kanak-kanak supaya menjauhi kawasan banjir bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Menurut Arjunaidi, tinjauan pihaknya di sekitar Pelabuhan Klang mendapati keadaan air di kawasan itu masih terkawal namun paras air semakin meningkat di beberapa tempat terutama di sungai-sungai utama di Selangor.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata, dua pengunjung hotel di Shah Alam hampir lemas ketika sedang mengalihkan kenderaan di ruang parkir bawah tanah bangunan tersebut kira-kira 3.30 petang.

"Anggota bomba bertindak mengeluarkan kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu sebelum paras air naik," katanya.

Norazam berkata. pihaknya turut mengalami masalah apabila jentera bomba terkandas akibat banjir ketika menuju ke lokasi mangsa namun kenderaan itu dapat bergerak tidak lama kemudian.

Menurut laman sesawang Info Bencana Jabatan Kemajuan Masyarakat, 41 PPS dibuka di Selangor setakat 7 malam bagi menempatkan seramai 3,361 mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 8:12 PM