ANGGOTA bomba menjalankan kerja menyelamat mangsa yang terperangkap. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menjalankan kerja menyelamat mangsa yang terperangkap. FOTO ihsan bomba
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Dua lelaki yang nyaris lemas ketika hendak mengalihkan kenderaan di ruang parkir bawah tanah sebuah hotel di Seksyen 13, di sini, diselamatkan bomba, petang tadi.

Kejadian itu turut tular selepas selebriti Diana Rafar membuat rakaman video meminta pertolongan agar mangsa diselamatkan.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, jentera anggotanya ditahan oleh orang awam memaklumkan kejadian itu ketika melalui lokasi berhampiran.

Katanya, jentera terus bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 3.31 petang.

"Sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati hanya terdapat dua mangsa di ruang parkir bawah tanah hotel berkenaan untuk mengalihkan kenderaan yang ditenggelami air.

"Ketika itu, air berada di paras tangga dan mangsa, dua lelaki berumur lingkungan 30-an itu dipercayai hendak naik untuk menyelamatkan diri.

"Kemudian anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa sebelum paras air naik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata, ketika operasi menyelamatkan mangsa dijalankan jentera bomba juga tersangkut di lokasi banjir berkenaan.

Bagaimanapun kenderaan kembali bergerak tidak lama kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 8:07 PM