GAMBAR hiasan. FOTO arkib
GAMBAR hiasan. FOTO arkib
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Lapan negeri mencatatkan penggunaan katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lapan negeri itu ialah Putrajaya (67 peratus), Kuala Lumpur (65 peratus), Johor (63 peratus), Melaka (63 peratus), Kelantan (58 peratus), Perlis (55 peratus) Selangor (55 peratus) dan Sabah sebanyak 53 peratus.

Menurutnya, peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi katil bukan ICU pula adalah membabitkan 12 negeri iaitu Kelantan (94 peratus), Kuala Lumpur (95 peratus), Perak (90 peratus), Putrajaya (86 peratus), Selangor (81 peratus), Perlis (78 peratus), Pahang (73 peratus), Johor (66 peratus), Terengganu (62 peratus), Pulau Pinang (60 peratus), Sabah (54 peratus) dan Sarawak sebanyak 52 peratus.

"Hanya satu negeri membabitkan penggunaan katil Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) iaitu Melaka sebanyak 60 peratus menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus.

"Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat kepada 213 pesakit dan peratusan penggunaan ventilator 36 peratus daripada keseluruhan ventilator untuk pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, KKM ingin menjelaskan bahawa terdapat perbezaan di antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes Covid-19 kategori 1 hingga 5 yang baharu didiagnosa pada setiap hari.

Menurutnya, ini memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.

"Misalnya, semasa didiagnosa, mungkin pesakit berada pada kategori 2A dan diisolasi di rumah melalui Home Surveilance Order (HSO) digital, namun status kesihatan pesakit boleh merosot ke kategori 3 atau lebih dan memerlukan kemasukan ke hospital.

"Pada masa yang sama, terdapat juga kes-kes Covid-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 10:57 AM