NOOR Hisham Abdullah.
NOOR Hisham Abdullah.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati penggunaan katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) di tiga negeri iaitu Johor (70 peratus), Kuala Lumpur (65 peratus) dan Melaka (50 peratus) menunjukkan peratusan pengisian melebihi atau sama 50 peratus.

Manakala katil bukan ICU di sembilan negeri iaitu Selangor (104 peratus), Perlis (101 peratus), Kelantan (96 peratus), Perak (91 peratus), Putrajaya (82 peratus), Johor (82 peratus), Sabah (79 peratus), Kuala Lumpur (77 peratus) dan Pulau Pinang (50 peratus) menunjukkan peratusan pengisian melebihi atau sama 50 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam negeri iaitu Selangor (74 peratus), Terengganu (58 peratus), Sabah (57 peratus), Melaka (53 peratus) dan Kelantan (50 peratus) menunjukkan peratusan pengisian katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) melebihi atau sama 50 peratus.

"Bagi pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 139 pesakit dan peratusan penggunaan ventilator secara keseluruhan adalah sebanyak 37 peratus," katanya.

Beliau berkata, demikian dalam kenyataan media hari ini memperincikan penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi pesakit Covid-19 pada 20 Februari 2022.

Secara keseluruhan katanya, KKM mendapati kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes Covid-19 dan bukan Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, namun begitu setiap negeri sudah pun bersiapsiaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes.

"KKM ingin menjelaskan bahawa terdapat perbezaan di antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes Covid-19 kategori 1 sehingga 5 yang baharu didiagnosa setiap hari.

"Ini memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.

"Misalnya, semasa didiagnosa, mungkin pesakit itu berada pada kategori 2A dan diisolasi di rumah melalui Home Surveilance Order (HSO) digital, namun status kesihatan pesakit boleh merosot ke kategori tiga atau lebih dan memerlukan kemasukan ke hospital," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama terdapat juga kes-kes Covid-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

"Pada 20 Februari 2022, kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital adalah 1,438 kes. Daripada 1,438 kes itu, 485 kes (33.7 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 953 kes (66.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 11:55 AM