GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kelantan terus merekodkan penggunaan katil kes kritikal di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 yang tertinggi iaitu mencecah 92 peratus.

Enam lagi negeri turut mencatatkan penggunaan katil di wad ICU bagi merawat pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Johor merekodkan penggunaan katil ICU sebanyak 61 peratus manakala Perlis (55 peratus), Perak (53 peratus) dan masing-masing 50 peratus di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka.

"Bagi katil bukan ICU, terdapat lima negeri merekodkan penggunaan katil melebihi 80 peratus iaitu di Selangor (107 peratus), Kelantan (97 peratus), Putrajaya (93 peratus), Kuala Lumpur (90 peratus) dan Perak (89 peratus).

"Manakala negeri merekodkan penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus adalah Perlis sebanyak 75 peratus, Johor (70 peratus), Pahang (67 peratus), Sabah (67 peratus), Terengganu (61 peratus) dan masing-masing 59 peratus di Sarawak serta Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, dua negeri iaitu Melaka dan Selangor menunjukkan pengisian lebih 50 peratus bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Beliau berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) pula berkurangan kepada 196 pesakit dan peratusan penggunaan bantuan itu adalah 37 peratus daripada keseluruhan ventilator untuk pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

"Secara keseluruhan, setiap negeri sudah bersiapsiaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan kemasukan ke PKRC, hospital dan ICU," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 10:49 AM