Foto hiasan
Foto hiasan
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan pesakit Covid-19 di enam negeri mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus pada semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam negeri berkenaan ialah Kuala Lumpur (77 peratus), Kelantan (75 peratus), Johor (66 peratus), Selangor (62 peratus), Melaka (59 peratus) dan Pulau Pinang (51 peratus).

Menurutnya, penggunaan katil bukan ICU untuk pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus pula membabitkan 12 negeri.

"Ia adalah di Putrajaya (107 peratus), Selangor (103 peratus), Kuala Lumpur (90 peratus), Perak (86 peratus), Melaka (84 peratus), Sarawak (81 peratus), Perlis (76 peratus), Terengganu (73 peratus), Kelantan (71 peratus), Johor (58 peratus), Pulau Pinang (56 peratus) dan Pahang (55 peratus).

"Sementara itu, tiada negeri yang menunjukkan peratusan melebihi 50 peratus bagi penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) pula menurun kepada 215 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 25 peratus pada semalam.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menjelaskan bahawa terdapat perbezaan antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes Covid-19 kategori satu hingga lima yang baharu didiagnosa pada setiap hari.

"Ini memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.

"Pada masa yang sama, terdapat juga kes-kes Covid-19 berisiko tinggi bagi kategori satu dan dua yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Semalam, katanya, sebanyak 1,521 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital dengan kategori berikut iaitu 634 kes (41.7 peratus) adalah kategori tiga hingga lima, manakala 887 kes (58.3 peratus) adalah kategori satu dan dua.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 11:21 AM