Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Dadah dan air ketum bernilai RM11,466 berjaya dirampas polis dalam op tapis khas dijalankan selama tiga hari di kawasan Felda di daerah ini bermula 23 Februari hingga Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, dalam operasi itu, seramai 57 suspek terdiri daripada tokan dan penagih berjaya ditangkap.

Katanya, tangkapan turut membabitkan empat penagih wanita berusia antara 26 hingga 38 tahun.

"Op tapis khas dijalankan di Felda Raja Alias, Felda Palong, Felda Lui Selatan dan Felda Pasoh. Tanah rancangan itu menjadi tumpuan pengedaran serta penagihan dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 237.6 gram heroin, 31 g syabu, 270 mililiter (ml) codien dan 70 liter air ketum dirampas sepanjang tiga hari operasi itu. .

Katanya kesemua suspek diambil tindakan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas ( LLPK) 1985, Seksyen 39B, Seksyen 39A (2), Seksyen 12(3), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan sama, katanya, lapan daripada suspek ditahan merupakan individu dikehendaki polis.

"Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 2:22 PM