Air ketum yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di FELDA Serting Hilir Tujuh, Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Air ketum yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di FELDA Serting Hilir Tujuh, Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Pendapatan lumayan sehingga RM12,000 sebulan dengan menjual air ketum menyebabkan seorang lelaki berusia 25 tahun sanggup berdepan risiko ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah rumah di Felda Serting Hilir 7 pada 12.10 malam kelmarin.

Katanya, suspek ditahan ketika sedang membungkus air ketum sebelum dijual disekitar tanah rancangan Felda berhampiran.

"Siasatan mendapati suspek pernah ditahan kerana terbabit dengan kegiatan serupa sebelum ini namun tidak serik mengulanginya berikutan pendapatan lumayan yang diterima.

"Polis merampas 70 bungkusan air ketum dan satu tong warna kuning untuk menyimpan air ketum yang sudah dibungkus," katanya hari ini.

Chang Hook berkata suspek mendapat bekalan daun ketum dari kawasan berhampiran.

Katanya siasatan polis mendapati suspek negatif dadah selain tidak mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 4:53 PM