ANTARA penagih yang ditahan. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
ANTARA penagih yang ditahan. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


POLIS menunggu lapan jam bagi menangkap 22 penagih yang masuk secara bergilir-gilir ke dalam pot dadah di ladang kelapa sawit FELDA Palong Lima, Jempol, kelmarin.

Turut ditahan adalah dua tokan termasuk seorang wanita ketika serbuan dalam op sarang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan, Ibu Pejabat Polis ( IPD ) Nilai dan IPD Seremban bermula 6 pagi hingga 2 petang.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata tokan wanita berusia 29 dan tokan lelaki berusia 44, ditangkap ketika mahu menjual dadah di pot itu pada 9 pagi.

Menurutnya, pot yang terletak dua kilometer dari kawasan perkampungan dipercayai aktif sejak dua bulan lalu dan menjadi tumpuan penagih dari kawasan sekitar berhampiran.

"Kesemua suspek yang ditangkap berusia dari 29 hingga 44 tahun dan kesemuanya adalah penduduk sekitar FELDA berhampiran.

"Sebanyak 18.66 gram (g) dadah jenis Heroin, 25g Syabu dan 3g Erimin 5 berjaya dirampas," katanya.

Semua suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah direman bagi membantu polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 11:21 AM