Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


POLIS menangkap 928 individu atas pelbagai kesalahan membabitkan kes narkotik di Jempol, tahun lalu berbanding 812 orang pada 2018.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, jumlah tangkapan itu meningkat sebanyak 116 orang atau 14 peratus.

Katanya mengikut pecahan, bagi kes kategori bekalan, 105 orang ditangkap pada tahun lalu berbanding 112 pada 2018.

"Mereka yang ditangkap disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1) dan 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Bagi kategori permintaan pada tahun lalu polis berjaya menangkap 809 penagih berbanding 697 pada 2018, peningkatan tangkapan 112 orang atau 16 peratus," katanya di Jempol.

Mohd Khairiel berkata, tahun lalu juga 14 individu dikenakan tindakan pencegahan mengikut Akta Dadah Berbahaya ( Langkah Langkah Pencegahan Khas) 1985 berbanding hanya tiga individu pada tahun sebelumnya.

Katanya mereka dikenal pasti amat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah terutama di kawasan tanah rancangan FELDA.

"Kesemua mereka yang dikenakan tindakan itu ditahan di pusat pemulihan akhlak selama dua tahun," katanya.

Mohd Khairiel berkata, sepanjang tahun lalu, 1.6 kilogram ( kg ) heroin, 438.33 gram Syabu, 65. 52 gram Ganja serta 67 kg daun ketum dan 223 liter air daun ketum dirampas polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 1:06 PM