Mohd Roji Kawi


Kuching: Hanya 15 peratus daripada 40,000 ibu bapa tidak bersetuju terhadap program vaksinasi Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Sebanyak 25.3 peratus pula tidak pasti manakala 59.7 peratus bersetuju.

Itu keputusan yang diperoleh dalam tinjauan awam dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mulai 26 hingga 31 Januari lalu.

UGGAH menyaksikan seorang kanak-kanak menerima vaksin Covid-19. FOTO Nadim Bokhari.
UGGAH menyaksikan seorang kanak-kanak menerima vaksin Covid-19. FOTO Nadim Bokhari.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, faktor utama menyebabkan responden tidak bersetuju dan tidak pasti itu ialah kerisauan terhadap komplikasi selepas menerima vaksin.

"Selain itu, ibu bapa turut meragui tahap keselamatan vaksin terhadap kanak-kanak pada usia itu.

"Hasil tinjauan itu juga mendapati ibu bapa yang tidak bersetuju dan tidak pasti terhadap program berkenaan kerana mereka mahu mahu memilih jenis vaksin," katanya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Vaksinasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) Peringkat Negeri Sarawak di Hospital Umum Sarawak (HUS), hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Penasihat JPBN Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Seramai 30 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di Kuching menjadi kumpulan pertama menerima vaksin jenis Pfizer BioNTech menerusi program PICKids di Sarawak.

Mengulas lanjut, Uggah berkata, seramai 272,500 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun layak untuk menyertai program PICKids itu namun hanya 12 peratus sahaja yang mendaftar menerusi MySejahtera setakat ini.

Sehubungan itu, Uggah meminta ibu bapa untuk menerima program itu demi Keselamatan kesihatan anak-anak mereka.

"Vaksin ini penting untuk kanak-kanak pada usia itu kerana mereka juga sentiasa berada di khalayak ramai dan pastinya sering berjumpa golongan berisiko seperti mereka yang mempunyai komorbid serta warga emas," katanya.

Sementara itu, Uggah berkata sehingga semalam, seramai 2.1 juta sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 di Sarawak dan ia meliputi 75.8 peratus keseluruhan populasi negeri ini.

Daripada jumlah itu, 1.9 juta adalah penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas manakala 259,432 lagi adalah remaja yang berusia antara 12 hingga 17 tahun.

"Sebanyak 83.3 peratus dalam kalangan yang layak pula sudah menerima dos penggalak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 1:01 PM