Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Pendaftaran kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun bagi mendapatkan vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) kini sudah melepasi sejuta atau 28 peratus daripada jumlah populasi berkenaan di negara ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kini 1,022,966 kanak-kanak akan mendapatkan pelalian berkenaan dalam PICKids yang diperkenalkan sejak 3 Februari lalu.

Dalam pada itu, Khairy turut berharap supaya ibu bapa tidak mengambil sikap 'tunggu dan lihat' dalam isu pemberian vaksin kepada anak mereka.

"Ini kerana kadar kemasukkan kanak-kanak di dalam hospital mula meningkat. Daftarkan anak anda untuk PICKids hari ini," katanya dalam ciapan di Twitter.

Menerusi ciapan yang sama, Khairy turut memaklumkan sebanyak 269,400 kanak-kanak di Selangor sudah didaftarkan, sekaligus menjadi negeri paling tinggi dalam pendaftaran PICKids.

"Ia diikuti Johor (150,800), Kuala Lumpur (96,700), Sarawak (90,000), Pulau Pinang (69,000), Perak (66,000), Kedah (55,400), Pahang (44,500), Melaka (39,500), Sabah (39,000), Negeri Sembilan (36,000), Terengganu (28,100), Kelantan (21,900), Putrajaya (9,200) dan Perlis (4,700) dan Labuan (2,000)," katanya dalam ciapan, hari ini.

Sementara itu, menerusi laman web COVIDNOW, sehingga semalam sebanyak 14.5 peratus atau 513,393 kanak-kanak di negara ini sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19. Jumlah itu dicapai selepas sejumlah 58,894 dos diberikan semalam.

JURURAWAT Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara memberikan suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kluster Sekolah Kebangsaan (SK) Penaga, kelmarin. FOTO Danial Saad
JURURAWAT Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara memberikan suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kluster Sekolah Kebangsaan (SK) Penaga, kelmarin. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 12:40 PM