Noor Azmi memberi suntikan vaksin kepada kanak-kanak ketika lawatan kerja sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids)di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). FOTO NOR FAZLINA ABDUL RAHIM
Noor Azmi memberi suntikan vaksin kepada kanak-kanak ketika lawatan kerja sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids)di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). FOTO NOR FAZLINA ABDUL RAHIM
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Hanya lapan kes kesan sampingan ke atas kanak-kanak selepas vaksinasi yang dilaporkan setakat ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Menurutnya, semua kes itu termasuk di Sabah Sarawak juga hanyalah kesan kategori ringan iaitu penerima mengalami bengkak dan merah di tempat suntikan.

Katanya, secara perbandingan, hanya 0.006 peratus yang mengalami kesan sampingan daripada 246,868 kanak-kanak lima hingga 11 tahun yang menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) setakat semalam.

"Jumlah itu juga menyaksikan suntikan vaksin menerusi PICKids baru mencapai tujuh peratus, masih rendah jika dibandingkan jumlah kanak-kanak yang layak menerima vaksin iaitu cecah empat juta orang.

"Justeru, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) perlu bekerjasama erat dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi meyakinkan ibu bapa supaya membawa anak mereka untuk menerima suntikan vaksin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja sempena PICKids di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, pihaknya mensasarkan seramai 3.6 juta iaitu 80 peratus kanak-kanak menerima vaksin Covid-19 dan berharap ibu bapa sedar kepentingan pengambilan suntikan itu berikutan penularan varian Omicron.

"Data menunjukkan sehingga tahun lalu, seramai 278,000 kanak-kanak dijangkiti Covid-19 dan 63 daripadanya meninggal dunia.

"Walaupun kita katakan kanak-kanak ini bila dijangkiti Covid-19, kebanyakan mereka mengalami simptom biasa, namun ada juga yang mengalami kesan teruk termasuk keradangan di pelbagai organ sehingga dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU)," katanya.

Beliau memohon ibu bapa tidak terpengaruh dengan berita palsu sehingga takut untuk membawa anak-anak menerima vaksin, kerana apa yang dilakukan kerajaan adalah melindungi kanak-kanak daripada mengalami jangkitan teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 1:49 PM