Oleh Aizat Sharif

Kangar: Sambutan terhadap suntikan dos penggalak Covid-19 di Perlis dilihat masih lagi rendah sehingga kini.

Pengarah Kesihatan Negeri Perlis Dr Sirajuddin Hashim berkata, sekitar 30 peratus atau lebih 52,000 orang sahaja daripada populasi penduduk di negeri itu sudah pun menerima suntikan dos penggalak setakat ini.

"Setakat ini, kita dapati baru 30 peratus daripada mereka yang layak termasuk warga emas tampil mendapatkan suntikan berkenaan.

"Bagaimanapun, data ini agak rendah berbanding dengan negeri seperti Sarawak yang sudah mencapai 70 peratus daripada mereka yang layak untuk mendapatkannya.

"Kita mensasarkan 70 peratus, termasuk warga emas yang layak, mendapatkan dos penggalak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) Hospital Tuanku Fauziah di sini, hari ini.

Dr Sirajuddin (berbaju batik warna hijau) sedang meninjau proses pemberian vaksin kepada kanak-kanak. FOTO AIZAT SHARIF
Dr Sirajuddin (berbaju batik warna hijau) sedang meninjau proses pemberian vaksin kepada kanak-kanak. FOTO AIZAT SHARIF

Katanya, beliau berharap masyarakat, terutama golongan berisiko seperti warga emas, tampil untuk mendapatkan dos penggalak.

"Ini penting untuk mencegah mereka daripada mendapat jangkitan yang teruk akibat Covid-19," katanya.

Dalam perkembangan lain, 70 orang atau 0.2 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Perlis sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi PICKids yang bermula 3 Februari lalu.

Dr Sirajuddin berkata, pihaknya mensasarkan untuk mencapai 100 kanak-kanak dalam lingkungan usia berkenaan menerima suntikan vaksin Covid-19 di hospital, klinik kesihatan selain klinik swasta.

"Dalam PICKids ini, kita menggunakan vaksin Pfizer.

"Seperti di HTF ini, kita memberikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak yang berisiko serta mempunyai masalah kesihatan atau 'immunocompromise' manakala di kemudahan kesihatan lain pula, kanak-kanak yang tiada masalah kesihatan boleh menerima vaksin di situ," katanya.

Terdahulu, 30 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima suntikan vaksin di bawah PICKids yang mensasarkan 20,000 kanak-kanak di Perlis.

Turut hadir Pengarah HTF Dr Mohd Safiee Ismail, Timbalan Pengarah (Pembedahan) Dr Nordin Mohamed dan Pakar Perubatan Jabatan Pediatrik Dr Siti Akma Ishak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 3:56 PM