Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Tiada paksaan kepada ibu bapa sama ada membenarkan anak mereka mengambil vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, ramai ibu bapa menganggap kerajaan memaksa program PICKids terhadap kanak-kanak sedangkan ia adalah tidak benar.

"Tidak ada paksaan pada rakyat nak ambil dos penggalak atau kanak-kanak diberikan vaksin.

"Ia tiada paksaan dan ia terbuka kepada ibu bapa yang mahu anak mereka divaksin.

"Vaksin dos pertama pun dulu ramai takut namun lepas itu ramai berebut-rebut pula.

"Cuma vaksin untuk kanak-kanak ini benda baharu, jadi ia normal. Ini kerana terlalu banyak cerita bukan-bukan yang tular.

"Kita tak salahkan rakyat. Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dah beri jaminan kepada ibu bapa, namun ramai ibu bapa yang bimbang. Kita tak paksa rakyat, terserah. Tapi difahamkan semakin ramai ibu bapa hantar anak-anak mereka untuk divaksin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Setakat semalam seramai 341,960 atau 9.6 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui PICKids.

Jumlah itu mencatatkan peningkatan hampir 50,000 orang berbanding kelmarin yang merekodkan 289,912 kanak-kanak atau 8.2 peratus kumpulan usia sama.

ISMAIL Sabri berucap pada Karnival Usahawan dan Koperasi Malaysia. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ISMAIL Sabri berucap pada Karnival Usahawan dan Koperasi Malaysia. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 7:18 PM