Op Carilamat mencari tiga PATI warga Indonesia yang masih hilang susulan bot karam dalam kejadian di Teluk Ramunia, Kota Tinggi. FOTO IHSAN APMM Johor
Op Carilamat mencari tiga PATI warga Indonesia yang masih hilang susulan bot karam dalam kejadian di Teluk Ramunia, Kota Tinggi. FOTO IHSAN APMM Johor
Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: Mayat seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai mangsa kejadian bot karam di Teluk Ramunia, pada 20 Januari lalu, ditemukan di perairan Singapura.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan 25 mangsa ditemukan dengan 19 terselamat, enam lemas, manakala dua lagi masih hilang.

Katanya, Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru dimaklumkan pihak berkuasa Singapura mengenai penemuan baharu itu di kedudukan lima batu nautika barat daya Changi Naval Base, Singapura, 12 tengah hari, semalam.

"Mayat yang ditemukan itu dipercayai hanyut sejauh 17.7 batu nautika dari lokasi bot terbalik.

"Berdasarkan dokumen pengenalan diri yang dijumpai pada mayat yang dipercayai sudah mati lebih dua hari itu, mangsa adalah warga Indonesia dan berusia 39 tahun.

"Mangsa disyaki seorang daripada tiga baki mangsa yang hilang dalam kejadian bot karam tempoh hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Op Carilamat masih diteruskan dengan sektor pencarian di laut merangkumi seluas 54 batu nautika persegi.

Katanya, pencarian di pesisir pantai pula sepanjang 20 kilometer dengan pembabitan seramai 76 petugas dari pelbagai agensi.

"Agensi itu meliputi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, selain Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta komuniti maritim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 2:50 PM