ANGGOTA APMM melakukankan SAR di sekitar perairan Tanjung Segenting. FOTO Ihsan APMM
ANGGOTA APMM melakukankan SAR di sekitar perairan Tanjung Segenting. FOTO Ihsan APMM
Essa Abu Yamin

SEORANG kru bot perdagangan barter hilang di laut selepas bot yang dinaiki dipukul ribut di perairan Tanjung Segenting di Batu Pahat, pada 4 pagi hari ini.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, mangsa Sulaiman Ali, 20, warga Indonesia adalah kru bot yang belayar dari Selat Panjang, Indonesia ke Batu Pahat dengan membawa muatan kayu bakau.

Katanya, dalam kejadian awal pagi itu, bot terbabit dimasuki air akibat ribut dan bagi mengelak bot itu karam, kru kapal membuang muatan kayu bakau berkenaan.

"Mangsa bersama dua kru dan tekong membuang muatan kayu bakau berkenaan.

"Mangsa disedari hilang oleh tekong ketika kerja membuang muatan ke laut dan mengesyaki dia terjatuh ke laut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Sub-Pusat Penyelamat Maritim Johor Bahru (MRSC-JB) mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada 9.30 pagi sejurus menerima laporan kejadian.

Katanya, dua unit bot dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Batu Pahat dan satu unit bot dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia digerakkan bagi mengesan dan mencari mangsa.

"Keluasan sektor pencarian dilaksanakan sekitar 20 batu nautika persegi di kawasan mangsa dilaporkan hilang.

"Mangsa dilaporkan memakai baju dan seluar berwarna coklat serta tidak memakai

jaket keselamatan ketika kejadian," katanya.

Katanya, APMM menasihatkan orang ramai dan komuniti maritim agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut, sentiasa mengutamakan keselamatan dan peka dengan perkembangan laporan keadaan cuaca.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 6:21 PM