BOT yang dinaiki mangsa yang dikhuatiri karam dipercayai dipukul ribut di perairan Pulau Beras Basah. FOTO tular
BOT yang dinaiki mangsa yang dikhuatiri karam dipercayai dipukul ribut di perairan Pulau Beras Basah. FOTO tular
Hamzah Osman


Langkawi: Seramai 14 pemancing dan empat kru dilaporkan hilang selepas bot dinaiki dikhuatiri karam dipercayai dipukul ribut pada kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, bot terbabit dilaporkan sedang membawa kumpulan pemancing dari Banting, Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, pihaknya menghantar tiga aset ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Aset Maritim Malaysia KM Tenggol, Bot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 diatur gerak bagi operasi SAR sebaik menerima laporan kecemasan daripada Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi.

"Maklumat kejadian turut disalurkan kepada agensi penyelamat lain termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan komuniti nelayan setempat," katanya dalam satu kenyataan di sini, petang ini.

Mohd Zawawi berkata, sektor operasi diperluaskan dari lima hingga 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek terapung termasuk tong ikan, tin biskut dan gabus dipercayai milik bot berkenaan.

"Penemuan barangan itu adalah pada jarak 4.8 batu nautika, di Barat Daya dari posisi akhir bot terbabit dilaporkan hilang.

"Sehingga kini operasi SAR yang dibantu pelbagai agensi penyelamat masih diteruskan dijangka sehingga pagi esok bagi mengesan bot terbabit," katanya.

Berita berkaitan:

  • Pemancing diselamatkan selepas azan
  • Sempat muatnaik gambar dan video di FB
  • 14 pemancing, 4 kru diselamatkan nelayan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 8:06 PM