MAYAT lelaki yang lemas selepas dilaporkan terjatuh ketika berkayak. FOTO Ihsan APMM
MAYAT lelaki yang lemas selepas dilaporkan terjatuh ketika berkayak. FOTO Ihsan APMM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lelaki yang dilaporkan terjatuh ketika berkayak di sini, semalam, ditemukan lemas di 3.0 batu nautika berhampiran Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Mayat Tony Liew, 48, dari Taman Alma Bukit Mertajam, ditemukan terapung di perairan itu pada 8.35 malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerusi Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima laporan berhubung kejadian itu 7.20 petang.

"Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) diaktifkan dengan mengatur gerak bot Kilat 4 ke lokasi bagi melakukan pencarian.

"Rakan mangsa mendakwa cuba menghubungi mangsa namun gagal sebelum menemukan kayak yang dinaiki mangsa dalam keadaan terbalik di perairan Batu Kawan, pada 6 petang, namun mangsa tidak ditemukan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Abd Razak berkata, Operasi Carilamat turut membabitkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Pasukan Polis Marin Batu Uban dan rakan mangsa yang turut berkayak di sekitar kawasan itu.

"Mayat mangsa dibawa ke Jeti Batu Musang dan diserah kepada Balai Polis Batu Kawan bagi tindakan lanjut.

"APMM menasihati orang ramai supaya menitikberatkan keadaan dan cuaca terkini sekiranya melakukan sebarang aktiviti rekreasi di laut.

"Ia boleh dilakukan dalam keadaan berkumpulan bagi memastikan keselamatan sentiasa terjamin," katanya.

Orang awam yang mahu melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-262614.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 9:54 AM