Ismail Sabri berucap ketika menghadiri Perjumpaan Khas Perdana Menteri dan Biro Politik UMNO Kelantan di Dewan UMNO Negeri Kelantan.  FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ismail Sabri berucap ketika menghadiri Perjumpaan Khas Perdana Menteri dan Biro Politik UMNO Kelantan di Dewan UMNO Negeri Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan akan menunggu laporan terperinci daripada jawatankuasa protem untuk menentukan sebarang pertimbangan membabitkan isu peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan pelajar sekolah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, laporan berkenaan akan diperoleh selepas jawatankuasa berkenaan mendengar pembentangan daripada pihak Kementerian Pendidikan.

"Kita agak sukar membuat pertimbangan apabila sekolah mula dibuka seperti ini namun jika kita terus menutup sekolah, ibu bapa juga bimbang masa depan anak mereka.

"Pelajaran melalui pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) juga ada yang tidak dapat diterima sepenuhnya oleh rakyat, beberapa perubahan sudah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan.

"Sekarang ini isunya kes meningkat tinggi dan mendadak, saya sudah meminta supaya Kementerian Pendidikan membentangkan kepada jawatankuasa protem. Perkara ini perlu disegerakan untuk kita buat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Badan Perhubungan Umno Kelantan, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa dan di luar waktu persekolahan formal terutama ketika di asrama antara faktor peningkatan kluster institusi pendidikan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, faktor lain dikenal pasti adalah amalan pemakaian pelitup muka semasa berada di asrama belum di tahap optimum.

Selain itu, katanya, pergerakan pelajar yang bebas semasa berada di asrama, pergaulan rapat semasa pelajar di asrama dan tiada penjarakan fizikal semasa aktiviti kerohanian di masjid juga dikenal pasti faktor peningkatan dalam kluster itu.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 1:30 PM