RAIS menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada penduduk kurang berkemampuan di Tanjung Minyak, hari ini. FOTO Amir Mamat
RAIS menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada penduduk kurang berkemampuan di Tanjung Minyak, hari ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Melaka: Tujuh sekolah menengah termasuk sebuah sekolah berasrama penuh di negeri ini mencetuskan Kluster Pendidikan berikutan penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sultan Muhamad membabitkan seramai 12 pelajar, SMK Agama Sharifah Rodziah (enam pelajar), manakala SMK Agama Saiyidah Khadijah, SMK Agama Darul Falah dan SMK Sains Mudzaffar Shah (masing-masing mencatatkan seorang pelajar).

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, dua Kolej Vokasional (KV) iaitu KV Melaka Tengah pula kekal mencatatkan kes tertinggi iaitu 107 kes, manakala KV Datuk Seri Abu Zahar Isnin di Jasin pula 25 kes.

Bagaimanapun, katanya, semua pelajar yang positif Covid-19 di kedua-dua KV terbabit sudah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sejak beberapa hari lalu.

"Kedua-dua kolej vokasional berkenaan akan memulakan sesi persekolahan esok, manakala SMK Agama Sultan Muhamad pula masih belum mendapat kebenaran untuk dibuka.

"Bagaimanapun, sekolah lain yang mencatatkan kes wabak itu, masih selamat untuk dibuka pada sesi persekolahan esok," katanya selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina di Tanjung Minyak, Paya Rumput di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong.

Rais berkata, susulan peningkatan kes dalam kalangan pelajar berkenaan, ibu bapa dinasihatkan supaya tidak panik dengan tahap keselamatan anak mereka ketika di sekolah.

Katanya, beliau sendiri sudah meminta Jabatan Pendidikan negeri supaya memperketatkan pematuhan Prosedur Operasi Standart (SOP) dalam kalangan pelajar dan kakitangan sekolah bagi mengekang penularan wabak itu.

"Sehubungan itu, ibu bapa jangan bimbang menghantar anak mereka ke sekolah kerana pihak Jabatan Pendidikan akan melakukan pemantauan setiap masa bagi memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pelajar terjamin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 4:19 PM