GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Peningkatan dalam beberapa kategori kluster jangkitan Covid-19, terutama kluster pendidikan sepanjang minggu lalu, turut membimbangkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan mendadak sebanyak 313.3 peratus dalam kluster pusat pendidikan amat membimbangkan berikutan individu daripada pelbagai isi rumah akan berada dalam ruang dan waktu yang sama, berisiko menyebabkan tercetusnya kluster yang tidak diingini sekiranya seseorang individu tidak patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, sepanjang minggu lalu, KKM mengesan sebanyak 62 atau 70.5 peratus kluster pusat pendidikan, disusuli 18 (20.5 peratus) kluster tempat kerja; empat (4.6 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi; dan masing-masing satu (1.1 peratus) kluster komuniti; kluster keagamaan; kluster import dan kluster pusat tahanan.

"Pada ME 3/2022, kluster institusi pendidikan menunjukkan peningkatan yang mendadak sebanyak 313.3 peratus. Selain itu, kluster tempat kerja dan kluster pusat tahanan juga menunjukkan peningkatan sebanyak 80 peratus dan 100 peratus.

"Kluster komuniti, kluster kumpulan berisiko tinggi, dan kluster import pula masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 88.9 peratus, 20.0 peratus, dan 66.7 peratus pada ME 3/2022 berbanding ME 2/2022.

"Seperti semua sedia maklum, sesi persekolahan bermula pada 9 Januari lalu seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM)," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pematuhan SOP perlu sentiasa ditekankan sama ada sebelum, semasa, dan selepas sesi persekolahan, walaupun kebanyakan populasi dewasa dan remaja sudah menerima vaksin Covid-19.

Katanya, amat penting untuk semua pihak mengamalkan pemakaian pelitup muka dengan cara yang betul serta memastikan kebersihan tangan dalam usaha mengawal penularan jangkitan Covid-19.

Selain itu, katanya, KKM mengingatkan semua pihak agar sentiasa menjalani saringan Covid-19 sekiranya bergejala sebelum hadir ke kawasan sekolah atau institusi pendidikan.

"Keselamatan dan kesihatan warga pendidikan perlu diberi perhatian agar dapat mengurangkan serta mencegah kluster baharu pendidikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 8:17 PM