GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan membuka satu lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid- 19 (PKRC) khas bagi menempatkan pelajar sekolah yang positif.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata ia menjadikan PKRC ketujuh di Kelantan susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

"Kita sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menjadikan asrama sekolah sebagai PKRC khas bagi menempatkan pelajar yang disahkan positif dari seluruh Kelantan.

"PKRC berkenaan membabitkan sebuah sekolah menengah di Salor. Kita akan membuka hari ini atau selewat-lewatnya esok.

"Pelajar lelaki dan perempuan semua akan ditempatkan di lokasi berkenaan membabitkan dua blok," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di sini hari ini.

Dr Zaini berkata, PKRC berkenaan boleh menampung 300 pesakit dalam satu masa.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, suntikan vaksin fasa dua yang bermula hari ini membabitkan 120 warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dan berisiko.

Media sebelum ini melaporkan, Kelantan merekodkan tujuh kluster pendidikan membabitkan 464 individu positif Covid-19 merangkumi guru, kakitangan dan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 2:49 PM