Penghulu Kedah bersama Penghulu Selangor bergotong-royong membersihkan kawasan di Hulu Langat selepas dilanda banjir. FOTO ihsan pembaca
Penghulu Kedah bersama Penghulu Selangor bergotong-royong membersihkan kawasan di Hulu Langat selepas dilanda banjir. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Saufi Hassan


Hulu Langat: Simpati dengan nasib menimpa mangsa banjir di sekitar Hulu Langat, Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Negeri Kedah tampil memberikan khidmat masyarakat bagi meringankan beban.

Ini kerana, walaupun hampir sebulan kejadian banjir kilat teruk melanda Hulu Langat, kesan dan kerosakan masih dilihat sehingga hari ini.

Yang Dipertuanya Jamani Jamaluddin berkata, Program Misi Jiwa Murni itu diadakan apabila berlakunya bencana besar di mana-mana negeri.

Katanya, antara kemudahan terjejas yang mendapat perhatian pihaknya adalah asrama lelaki Madrasah Adawiyah Idrisiah yang runtuh sepenuhnya.

"Kita harap bebanan dan tekanan pihak madrasah sedikit berkurangan apabila menerima kunjungan kami penghulu dari negeri Kedah yang datang membantu membersihkan sisa runtuhan.

"Program kali ini diadakan dengan kerjasama penghulu negeri Selangor dan ia adalah misi balas budi kerana penghulu Selangor membantu mangsa kepala air di Yan tahun lalu.

"Selain gotong-royong, kita turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan lain kepada pihak madrasah," katanya.

Selain itu kumpulan penghulu ini juga mengunjungi tapak rumah dan menyampaikan sumbangan kepada Rohana Mahfodz, 76 yang tular kerana rumahnya hanya tinggal tangga akibat banjir besar itu.

Rohana berkata, dia bersyukur kerana ramai yang membantu dan terima kasih kepada kumpulan penghulu Kedah kerana sudi datang bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan.

"Insya-Allah, rumah baru sumbangan daripada pelbagai pihak sedang disiapkan bersebelahan tapak rumah yang asal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 12:28 PM