Mary Victoria Dass


Pontian: Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bakul Rezeki yang dilaksanakan Pasaraya Econsave Cash & Carry sejak 2018 akan diteruskan bagi membantu rumah kebajikan serta madrasah tahfiz di negeri ini.

Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam berkata, sehingga kini inisiatif itu sudah membantu lebih 10 madrasah di seluruh Johor.

Beliau berkata, program Bakul Rezeki adalah sumbangan daripada pelanggan Econsave yang prihatin dan mengambil berat berkaitan kehidupan harian golongan kurang berkemampuan termasuk penghuni madrasah.

MAS Imran Adam menyampaikan sumbangan barangan elektrik kepada pembantu Madrasah Tahfiz Iman di sini baru-baru ini. FOTO Mary Victoria Dass
MAS Imran Adam menyampaikan sumbangan barangan elektrik kepada pembantu Madrasah Tahfiz Iman di sini baru-baru ini. FOTO Mary Victoria Dass

Menurutnya, secara tidak langsung program Bakul Rezeki memberi ruang kepada pelanggan melakukan amal jariah bagi membantu golongan sasar terbabit terutamanya ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

"Kami menyediakan bakul di pintu keluar untuk memudahkan pelanggan menyumbang dan Insha-Allah skop program Bakul Rezeki akan diluaskan ke seluruh negara pada masa akan datang," katanya ketika menyampaikan sumbangan barangan dapur dan elektrik bernilai RM1,200 kepada Madrasah Tahfiz Iman Haji Jaafar di Kampung Rimba Terjun di sini, baru-baru ini.

Terdahulu kakitangan Harian Metro turut menziarahi madrasah itu serta menyerahkan sumbangan.

Sementara itu, wakil madrasah, Fairuz Jaafar berkata, terdapat 30 pelajar termasuk 23 lelaki dan tujuh perempuan berusia antara sembilan hingga 16 tahun di madrasah berkenaan.

Menurutnya, pada setiap bulan pihaknya menanggung perbelanjaan RM5,000 bagi menampung keperluan penghuni dan operasi madrasah.

"Kami terharu dan bersyukur apabila ada pihak yang membantu termasuk kakitangan Harian Metro yang berkonvoi motosikal dari Kuala Lumpur ke sini.

"Kami mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan bagi membantu kelancaran operasi madrasah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 3:08 PM