ROHANA Mahfodz melihat bekas rumahnya musnah akibat banjir pada sabtu lalu di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat. FOTO Azhar Ramli
ROHANA Mahfodz melihat bekas rumahnya musnah akibat banjir pada sabtu lalu di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat. FOTO Azhar Ramli
Suraya Roslan


Hulu Langat: "Di sinilah lambaian terakhir arwah bapa kepada mak yang berada dalam keranda".

Itu simbolik yang dirasai Rohana Mahfodz, 76, sebaik melihat rumah pusaka berusia 52 tahun peninggalan arwah ibu bapanya di Batu 18, Kampung Jawa, dihanyutkan banjir dalam kejadian banjir melanda Sabtu lalu.

Menurutnya, rumah itu kini hanya tinggal tangga dan satu tiang sahaja.

"Tiang ini juga simbolik keutuhan kasih sayang arwah ibu bapa. Rasa seperti tidak percaya apabila bangun tidur struktur rumah sudah tiada.

"Ia membuatkan saya tertanya-tanya kenapa hanya tinggal tangga dan tiang. Mungkin ia bagi mengingatkan saya kepada kasih sayang ibu dan ayah. Tiang itu mungkin sebagai petanda untuk bina kembali rumah. Ada hikmah di sebalik semua kejadian ini." katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di sini, hari ini.

Rohana yang tinggal seorang diri berkata, rumah itu cukup bermakna buat dirinya dan adik beradik yang lain kerana dijadikan tempat berhimpun saudara mara setiap kali musim buah dan perayaan.

"Saya berharap dapat bina semula rumah ini namun belum berbincang dengan adik beradik lain.

"Ia dibina sikit demi sedikit sejak 1969. Lantai baru saja dibuat semula dan cucu belum sempat menjejaknya," katanya.

Sementara itu, adik kesembilan Rohana, Rohani, 57, berkata, kakak sulungnya itu kini tinggal bersamanya di Ampang sementara adik beradik berbincang untuk menguruskan rumah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 8:04 PM