GAMBAR hiasan. FOTO ARKIB NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memutuskan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 diadakan pada 16 hingga 19 Mac nanti.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perasmian Perhimpunan Agung Wanita Umno, Pergerakan Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 16 Mac nanti.

"Pada 17 Mac pula, Perhimpunan Agung Wanita Umno, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno berlangsung, manakala keesokannya Ucapan Dasar Presiden dan Perasmian PAU oleh Presiden Umno sebelum PAU bermula.

"Pada 19 Mac nanti pula, berlangsungnya PAU hari kedua," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad berkata, semua 14 perwakilan setiap bahagian akan dijemput untuk menghadiri PAU 2021 dan tidak diadakan perhimpunan secara hibrid.

Beliau berkata, semua lima perwakilan bagi setiap sayap akan menghadiri PAU kali ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti segi penjarakan, pelitup muka, penggunaan aplikasi MySejahtera, pensanitasi tangan dan sebagainya.

"Banjir besar yang melanda negara pada Disember 2021 dan Januari ini adalah sesuatu di luar jangkaan. Pelbagai bantuan banjir yang diberi kerajaan adalah dialu-alukan.

"Mesyuarat mengambil ingatan mengenai pengurusan banjir yang perlu diperbaiki terutama di Selangor. Sidang Dewan Rakyat khas pada 20 Januari nanti diharapkan dapat mengumpulkan cadangan bernas supaya Malaysia menjadi negara yang terhindar daripada banjir besar pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata, MKT Umno merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli dan pimpinan Umno di semua peringkat yang terbabit sebagai sukarelawan membantu mangsa banjir.

Menurutnya, pada masa sama, MKT Umno menegaskan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sentiasa kekal, malah perlu terus dimantapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 11:58 PM