Ahmad Maslan berucap pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang akan ada pada 16 Mac sehingga 19 Mac ini di Pusat Dagangan Dunia  Kuala Lumpur(WTCKL). FOTO HAZREEN MOHAMAD
Ahmad Maslan berucap pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang akan ada pada 16 Mac sehingga 19 Mac ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur(WTCKL). FOTO HAZREEN MOHAMAD
BERNAMA

Kuala Lumpur: Isu menangani Covid-19, ekonomi rakyat, pendidikan, hubungan antara kaum dan pendidikan antara yang akan dibincangkan pada Perhimpunan Agung Umno 2021, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad bagaimanapun berkata, beliau tidak menolak kemungkinan isu mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan turut disentuh perwakilan.

"Mereka (jurucakap) bebas bercakap asalkan tidak sentuh perkara sensitif," katanya dalam sidang media mengenai Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021, di sini, hari ini.

Perhimpunan itu yang akan berlangsung selama empat hari bermula Rabu ini secara bersemuka, akan dihadiri seramai 5,571 perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, semangat kemenangan serta kesyukuran memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka selain kejayaan diraih rakan akrab Barisan Nasional (BN) di Sarawak akan turut dibawa perwakilan pada perhimpunan itu.

"Siri kemenangan BN dan rakan BN beri nafas baharu kepada Umno dan perwakilan. Ia akan mewarnai perhimpunan kali ini, Umno dan BN bangkit untuk meneruskan perjuangan menerajui negara," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, perhimpunan berkenaan yang menarik perhatian lebih 500 pengamal media termasuk 15 agensi berita asing, turut menjemput komponen BN, Friends of BN, Pesuruhjaya Tinggi dan Duta asing bagi mengikutinya.

Menurutnya, turut memeriahkan Perhimpunan Agung Umno itu ialah program pameran oleh 20 agensi kerajaan.

Katanya, bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 di Dewan Merdeka, dewan utama yang digunakan bagi perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri serta perasmian PAU 2021, akan digunakan separuh kapasiti dengan mengambil kira penjarakan fizikal manakala perwakilan yang positif atau mempunyai gejala, tidak dibenarkan hadir.

"Kalau di Parlimen, kit ujian pantas Covid-19 (RTK) antigen dibuat dua hari sekali dan untuk perhimpunan ini, saya harap kami buat dua kali sepanjang PAU (2021) dan itu pun memadai," katanya.

Perhimpunan dimulakan dengan perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, diikuti persidangan penuh ketiga-tiga sayap pada keesokkannya.

Ia kemudian diteruskan dengan acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka pada 18 Mac ini, diikuti ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada 25 Disember lalu, PAU 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 15 Januari lalu terpaksa ditangguhkan susulan kejadian banjir yang melanda beberapa negeri dalam negara pada penghujung Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 6:53 PM