Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, malam tadi, bersetuju untuk membawa usul dibangkitkan 189 Bahagian-Bahagian Umno yang bersidang di seluruh negara ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 31 Januari nanti.

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perjalanan Mesyuarat Perwakilan Bahagian-Bahagian dan Sayap-Sayap Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri yang berakhir pada 3 Januari lalu.

"Mesyuarat memperhalusi semua usul dibangkitkan 189 Bahagian-Bahagian Umno yang bersidang di seluruh negara termasuk usul utama seperti mempertahankan hubungan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional mengambil kira sentimen permuafakatan yang dibina ketika 22 bulan bersama-sama sebagai pembangkang.

"Antara usul utama lain adalah memutuskan hubungan dengan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) serta menggesa supaya PRU-15 dapat diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun ini bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, tertakluk kepada keadaan Covid-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, usul-usul utama itu menyentuh soal dasar dan pendekatan asas yang akan mempunyai kesan besar kepada masa hadapan parti dan negara.

"Perlembagaan Umno juga memperuntukkan usul-usul Bahagian akan diangkat ke Perhimpunan Agung nanti bagi dibahas dan diputuskan di peringkat tertinggi parti sebagaimana peruntukan perlembagaan itu," katanya.

Katanya, mesyuarat juga mengambil maklum mengenai pertukaran jawatan Setiausaha Barisan Nasional (BN) yang digalas semula tradisinya oleh Setiausaha Agung Umno.

"Perkara ini sudah mendapat persetujuan lisan Presiden-Presiden Parti Komponen dan akan diabsahkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dalam masa terdekat," katanya.

Terdahulu, beberapa Ahli MKT Umno tiba di Menara Dato' Onn, di sini, untuk menghadiri mesyuarat MKT malam tadi.

Antara yang hadir adalah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin serta ahli MKT, Datuk Seri Tajudin Abd Rahman, Datuk Samsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Azalina Othman Said serta Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Turut hadir, Datuk Razali Ibrahim, Datuk Seri Johari Abd Ghani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Datuk Jalaluddin Alias.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bermula jam 8.30 malam dan ia berlangsung lebih dua jam.

Mesyuarat Biro Politik Umno yang dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri diadakan sekitar jam 5 petang tadi.

Difahamkan mesyuarat itu diadakan bagi memutuskan pendirian mengenai kerjasama dengan Bersatu ekoran usul menolak kerjasama yang dibangkitkan Umno bahagian dalam mesyuarat mereka hujung minggu lalu.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat berkenaan juga memutuskan untuk menambah kekuatan jentera parti daripada negeri-negeri bagi usaha membantu mangsa-mangsa banjir termasuk pasca banjir.

"Skuad Sayang Wanita dan Skuad Sabil Pemuda juga akan digerakkan dengan lebih hebat.

"Bagi tujuan menyelaras semua gerak kerja penyampaian bantuan kepada mangsa banjir, sebuah Pasukan Khas Umno Menangani Bencana ditubuhkan dan akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim," katanya.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. FOTO ihsan Umno Online
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. FOTO ihsan Umno Online

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 12:14 AM