Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pemilihan parti kemungkinan dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Khamis ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelbagai perkara turut dibincangkan dalam mesyuarat bulanan MKT itu.

"Pemilihan masih belum dibincangkan tentunya boleh dibincangkan pada 5 Januari ini.

"Kita juga akan bincangkan jemputan parti-parti daripada Kerajaan Perpaduan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) dan sebagainya.

"Malah, kita akan teruskan tradisi mengadakan mesyuarat khas MKT pada 12 Januari sebelum ucapan dasar Presiden," katanya pada sidang media PAU 2022 di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

 AHMAD pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia  Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO Hazreen Mohamad.
AHMAD pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO Hazreen Mohamad.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, PAU 2022 tampil dengan kelainan apabila Ketua Penerangan bahagian dan sayap parti akan menjadi pemerhati dan perwakilan.

"Paling penting saya nak sampaikan di sini kelainan dalam PAU ini ialah pemerhati dan perwakilan bertambah iaitu 2,822 orang terdiri daripada Ketua Penerangan bahagian.

"Kenapa Ketua Penerangan bahagian kita nak jadikan sebagai perwakilan automatik ini kerana apabila mereka pulang, segala ucapan dasar dan ucapan perwakilan negeri dan sayap yang mereka dengar itu dijadikan bahan untuk menjelaskan

kepada ahli Umno di peringkat bahagian masing-masing.

"Itu antara rasional kenapa Ketua Penerangan Bahagian Wanita, Pemuda dan Puteri akan menjadi automatik untuk Perhimpunan Agung seterusnya," katanya.

Katanya, PAU 2022 hanya memfokuskan satu usul saja iaitu ucapan dasar Presiden yang menyentuh pelbagai perkara termasuk agama, pendidikan, ekonomi, politik dan antarabangsa.

Sebelum ini, Ahmad dilaporkan berkata, satu perhimpunan agung khas akan diadakan ketika PAU 2022 berlangsung bagi meminda dua fasal perlembagaan parti iaitu pengguguran ahli disesuaikan dengan Akta Anti Lompat Parti.

Turut dipinda ialah Perlembagaan Umno yang meletakkan Ketua Penerangan (bahagian) sebagai mereka yang automatik menjadi perwakilan dalam PAU setiap tahun manakala ketua penerangan bagi Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian juga secara automatik menjadi perwakilan kepada perhimpunan tahunan sayap.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 4:59 PM