PENDUDUK Palestin melihat kesan pengeboman Israel di sebuah bangunan di Rafah, selatan Gaza. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin melihat kesan pengeboman Israel di sebuah bangunan di Rafah, selatan Gaza. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Kumpulan pejuang Hamas mendakwa, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu cuba menggagalkan cadangan gencatan senjata Gaza, Palestin serta perjanjian pembebasan tebusan.

Pegawai tertinggi Hamas, Hossam Badran mendedahkan, Netanyahu menggugut untuk terus memerangi kumpulan pejuang Palestin itu.

"Netanyahu adalah penghalang semua pusingan dialog sebelum ini... dan jelas dia masih ada," katanya kepada AFP melalui telefon.

Hossam mendakwa, desakan Netanyahu untuk menyerang Rafah cuma untuk menggagalkan sebarang kemungkinan untuk membuat perjanjian dalam rundingan dilaksanakan pengantara Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS).

Pengantara asing sedang menunggu jawapan Hamas terhadap cadangan untuk menghentikan pertempuran selama 40 hari dan pertukaran tebusan untuk tahanan Palestin

Ketua Hamas, Ismail Haniyeh berkata, kumpulan itu sedang mempertimbangkan dengan semangat positif.

Ketika Hamas menuntut gencatan senjata berkekalan, Netanyahu berikrar untuk menumpaskan pejuangnya yang masih tinggal di bandar jauh selatan Rafah, yang dipenuhi dengan orang awam yang kehilangan tempat tinggal.

Netanyahu menegaskan beliau akan menghantar tentera darat ke Rafah, walaupun kebimbangan kuat disuarakan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sekutu Washington untuk keselamatan 1.2 juta orang awam di yang berlindung di bandar itu.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, agensi itu sangat bimbang operasi ketenteraan berskala penuh di Rafah.

"Sistem kesihatan yang rosak tidak akan dapat menampung lonjakan kematian..." katanya dalam satu kenyataan.

AFP pada Jumaat melaporkan serangan udara Israel membunuh beberapa orang lagi di Rafah sejak semalaman, kata pegawai perubatan Palestin dan agensi pertahanan awam.

Seorang penduduk, Sanaa Zoorob, berkata, kakaknya dan enam anak saudaranya terbunuh dalam serangan terbaharu itu.

"Dua daripada kanak-kanak itu ditemukan 'berkecai' dalam pelukan ibu mereka.

"Saya merayu gencatan senjata kekal dan pengunduran sepenuhnya (tentera Israel) dari Gaza," katanya.

Kempen balas dendam Israel sejak serangan 7 Oktober lalu membunuh sekurang-kurangnya 34,622 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah kendalian Hamas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 11:50 AM