Lapangan Terbang Kansai (KIX), Osaka. FOTO fail AFP
Lapangan Terbang Kansai (KIX), Osaka. FOTO fail AFP
Agensi

Tokyo: Lapangan Terbang Kansai (KIX), Osaka, Jepun melakar sejarah tersendiri apabila tidak pernah mengalami insiden kehilangan bagasi penumpangnya sepanjang tempoh 30 tahun beroperasi.

Justeru, tidak hairan lapangan terbang itu diiktiraf menerusi anugerah Skytrax untuk Lapangan Terbang Terbaik Dunia untuk Penghantaran Bagasi 2024.

Menariknya, lapangan terbang itu menggondol anugerah itu sebanyak lapan kali, lapor New York Post.

Penilaian dibuat berdasarkan masa menunggu sebelum pengambilan bagasi, kecekapan penghantaran bagasi dan tindak balas terhadap kehilangan bagasi.

KIX berjaya mengendalikan kira-kira 10 juta barang bagasi pada tahun 2023.

Dalam kenyataan akhbar, lapangan terbang itu berkata, pihaknya percaya rekod tiada bagasi hilang sejak pembukaan lapangan terbang itu, hasil usaha harian dan kerja berhati-hati semua kakitangan termasuk syarikat penerbangan dan syarikat pengendalian.

Difahamkan, lapangan terbang itu meletakkan dua atau tiga kakitangan untuk menilai jenis dan bilangan beg bagi setiap pesawat serta maklumat transit penumpangnya.

Pegawai perhubungan awam KIX, Kenji Takanishi berkata, perkara dipratikkan itu sudah menjadi sebahagian daripada amalan rutin bagi standard perkhidmatan mereka.

"Kami tidak berasa seperti kami melakukan sesuatu yang istimewa kerana kami hanya bekerja seperti biasa.

"Kami hanya melakukan kerja kami setiap hari dan kami diiktiraf untuknya.

"Pastinya kami gembira menerima anugerah itu," katanya kepada CNN.

Sejak beroperasi pada 1994, Lapangan Terbang Kansai memberi perkhidmatan kepada 20 juta hingga 30 juta penumpang setiap tahun.

Lapangan terbang itu turut menyasarkan menyambut 37.3 juta penumpang pada 2025 sempena Ekspo Dunia 2025.

Untuk memastikan pengalaman perjalanan yang lancar, lapangan terbang mempunyai panduan terperinci untuk mengendalikan bagasi bagi setiap syarikat penerbangan.

Panduan ini sentiasa dikemas kini berdasarkan pengalaman dan cadangan kakitangan dan matlamat mereka untuk membawa beg kepada penumpang dalam masa 15 minit dari masa ketibaan penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 11:34 AM