Baharom Bakar


Dungun: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) meluluskan peruntukan RM232,000 untuk membantu 23 usahawan dan peniaga terkesan susulan penularan pandemik Covid-19.

Selain terkesan berikutan penularan pandemik Covid-19, ada antara peniaga dan usahawan itu turut berdepan dengan kerugian berikutan bencana banjir.

Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris berkata, usahawan dan peniaga terbabit perlu dibantu segera bagi mengurangkan bebanan terpaksa ditanggung susulan bencana berkenaan.

Beliau berkata, seramai 17 usahawan dan peserta Program Peningkatan Pendapatan Penduduk (PPP) menerima bantuan pelbagai peralatan bernilai RM135,000.

"Bantuan turut diberikan kepada enam usahawan dan peniaga di bawah Program Pembangunan Usahawan (PPU) berjumlah RM97,000.

RAZALI (kiri) menyampaikan bantuan kepada usahawan terkesan. hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR.
RAZALI (kiri) menyampaikan bantuan kepada usahawan terkesan. hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR.

"Penyaluran bantuan itu diberikan bertujuan membantu golongan usahawan dan peniaga yang tinggal dan menjalankan perniagaan di kawasan Ketengah untuk terus beroperasi selepas terkesan berikutan penularan Covid-19 serta banjir, awal bulan lalu, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Ketengah Ambik Cakna di Dewan Serba Guna Kampung Padang Pulut, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Ketengah Holding Sdn Bhd, Mohd Zaid Sulaiman dan Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Pada majlis itu, Razali yang juga Timbalan Majlis Senator Malaysia (MSM) menyampaikan bantuan kewangan kepada 130 Ketua Isi Rumah (KIR) yang menjadi mangsa banjir yang menerima wang tunai RM300.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 3:54 PM