Baharom Bakar


Marang: Kesemua 1,597 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 daripada 13 sekolah menengah di daerah ini akan menikmati makanan dan minuman tengah hari percuma esok.

Inisiatif makanan dan minuman percuma itu diberikan bagi mengelakkan semua calon peperiksaan SPM pulang ke rumah untuk makan dan minum.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Senator Datuk Razali Idris berkata, pengetua sekolah diberi tanggungjawab sepenuhnya termasuk kesesuaian masa untuk menyediakan makanan dan minuman percuma kepada semua calon yang akan menduduki peperiksaan SPM esok.

Menurutnya, semua pengetua diminta untuk tidak membenarkan calon keluar dari kawasan sekolah termasuk pulang ke rumah untuk makan dan minum terutamanya jika membabitkan peperiksaan beberapa kertas pada dua sesi.

RAZALI (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kewangan bagi membiayai makan dan minum percuma kepada calon SPM kepada pengetua sekolah di Pejabat Pendidikan Daerah Marang. FOTO BAHAROM BAKAR.
RAZALI (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kewangan bagi membiayai makan dan minum percuma kepada calon SPM kepada pengetua sekolah di Pejabat Pendidikan Daerah Marang. FOTO BAHAROM BAKAR.

"Inisiatif menyediakan makan dan minum tengah hari secara percuma itu bertujuan mengelakkan calon SPM keluar masuk ke kawasan sekolah dan dewan peperiksaan.

"Kita bimbang ada antara calon tidak dapat meneruskan peperiksaan disebabkan dijangkiti pandemik Covid-19," katanya ketika sidang media di majlis penyampaian bantuan kewangan berjumlah RM7,975 bagi membiayai kos makan dan minum untuk semua calon SPM 2020 di Pejabat Pendidikan Daerah Marang di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Marang Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak dan Pegawai Jabatan Pendidikan Daerah Marang Mohd Nawawi Rani.

Razali berkata, jumlah bantuan kewangan diberikan bergantung kepada jumlah calon SPM 2020 di setiap sekolah menengah yang bakal menduduki peperiksaan termasuk untuk calon persendirian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 5:07 PM