Baharom Bakar

Marang: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melalui skuad Ketengah Ambik Cakne memperuntukkan kira-kira RM500,000 untuk bantuan sekali bayaran kepada semua imam dan bilal di negeri ini.

Pengerusinya Datuk Razali Idris berkata, seramai 2,484 imam dan bilal yang bertugas di masjid seluruh negeri menerima bantuan sebanyak RM200 seorang.

Katanya, bantuan berkenaan diharap mampu meringankan bebanan dihadapi terutama membeli pelbagai barangan sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.

"Ketengah terpanggil untuk memberi bantuan sebagai penghargaan kepada semua imam dan bilal yang berperanan dalam melaksanakan pengimarahan syiar Islam.

"Peranan dan tanggungjawab imam serta bilal sentiasa dihargai kerajaan pusat apabila meluluskan bantuan sekali bayaran sebanyak RM200 seorang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penyampaian bantuan pada program Ketengah Ambik Cakne Iman dan Bilal peringkat daerah Marang di Masjid Sultanah Nur Zahirah, di sini, hari ini.

Razali (kanan) menyampaikan bantuan sekali bayaran kepada imam Masjid Sultanah Nur Zahirah, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Razali (kanan) menyampaikan bantuan sekali bayaran kepada imam Masjid Sultanah Nur Zahirah, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR

Turut hadir, Pegawai Agama Daerah Marang Wan Humaidi Wan Ismail, Pengerusi Persatuan Imam dan Bilal Daerah Marang Abdul Manas Bidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Ketengah, Zaidi Muda.

Razali yang juga Timbalan Majlis Senator Malaysia (MSM) berkata, kerajaan Terengganu juga meluluskan peruntukan bantuan sekali bayaran kepada imam dan bilal sebanyak RM150 melalui pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, walaupun bantuan tidak banyak, tetapi membuktikan bahawa kerajaan pusat dan negeri tidak meminggirkan peranan dan tanggungjawab imam serta bilal.

"Pengagihan bantuan sekali bayaran kepada imam dan bilal di seluruh negeri akan dilakukan secara berperingkat dan dijangka selesai pada bulan depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 4:12 PM